Projek Susu Sekolah disambung Oktober
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pelajaran akan menyambung semula program itu bagi memastikan murid, terutama daripada keluarga berpendapatan rendah dan di luar bandar, memperoleh zat mencukupi untuk mengikuti pembelajaran.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran, berkata kementeriannya menerima cadangan Kerajaan Sabah yang memiliki pengeluaran susu terbesar di negara ini untuk menyambung semula program itu demi kesihatan murid.
“Sabah pengeluar susu terbesar di negara kita sekarang. Ada lebihan pengeluaran susu di negeri ini. Kementerian akan berbincang dengan kerajaan negeri bagaimana susu itu akan diedarkan.
“Skim ini dihentikan dua tahun lalu berikutan masalah pembekalan. Ada susu basi yang diberikan kepada murid. Ibu bapa tidak puas hati. Kalau boleh, skim itu akan dilaksanakan semula Oktober ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mendengar taklimat pembangunan daerah ini daripada Pegawai Daerah, Zulkifli Nasir, di Hotel Executive, di sini semalam.
Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan beberapa Menteri Kabinet negeri.
Muhyiddin berkata, walaupun PSS dihentikan di Semenanjung pada 2008, program itu tetap diteruskan di Sabah dan Sarawak berikutan pembekalan susu berterusan dan berkualiti melalui pengeluar susu di negeri ini.
Ketika berucap pada majlis berbuka puasa di masjid Al-Rauddah anjuran UMNO Zon Enam membabitkan Bahagian Silam, Semporna, Tawau dan Kalabakan, Muhyiddin mengumumkan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di daerah ini dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10).
- BERITA MINGGU