Hati-hati provokasi Indonesia - Hamidin
Menurut Hamidin, skuad kendalian Ong Kim Swee tidak harus terikut-ikut dengan sebarang provokasi melampau daripada ribuan penyokong Sang Garuda Muda itu.
Bagi Hamidin, barisan pemain negara harus berjuang habis-habisan bagi memburu pingat emas, sekali gus mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada Sukan SEA 2009 di Vientianne, Laos.
"Saya rasa pemain-pemain sudah cukup arif dan faham dengan apa yang akan mereka hadapi (malam ini). Ini bukan kali pertama mereka beraksi di hadapan ribuan penyokong Indonesia.
"Sebelum ini di peringkat kumpulan, para pemain telah mengharungi situasi yang sama, tidak kira ketika menentang Indonesia atau pasukan lain. Jadi, situasi yang sama akan hadapi (malam ini).
"Jadi saya berharap para pemain tidak terlalu mengikut emosi sekiranya mereka diejek oleh penyokong Indonesia. Yang penting mereka fokus sepanjang perlawanan berlangsung," kata Hamidin kepada Kosmo! semalam.
Dalam masa yang sama, Hamidin tidak menolak kemungkinan skuad Harimau Muda dijangka sekali lagi menaiki Barracuda selepas tamat perlawanan untuk pulang ke hotel penginapan rasmi mereka di Hotel Sultan, kira-kira 1 kilometer dari Stadium Gelora Bung Karno.
Katanya, mereka akan berada di hotel tersebut untuk mengemas beg pakaian dan barangan masing-masing sebelum dibawa ke lapangan terbang dan menaiki pesawat khas pulang ke tanah air.
- KOSMO!