Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label rumah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label rumah. Papar semua catatan

iProperty bantu pembeli, penjual dapatkan data hartanah

by

 


Portal hartanah utama pasaran, iProperty.com.my memperkenalkan ciri baharu, iProperty Transaction Section, instrumen untuk membantu pembeli dan penjual hartanah mendapatkan data transaksi.

Pengarah Produknya, Shah Suriye Rubhen, berkata ciri terbaharu portal itu menyediakan data transaksi hartanah sebenar di mana-mana kawasan di seluruh negara.

"Anda boleh mengecilkan jenis hartanah, sama ada rumah teres, banglo, berkembar dan sebagainya dan melihat harga daripada sudut berbeza termasuk harga median dan harga bagi satu kaki persegi.

"Ini akan memberikan rakyat Malaysia pusat rujukan yang baik semasa mereka membeli atau menjual hartanah," katanya kepada pemberita semasa majlis pembentangan mengenai ciri terbaharu portal itu.

Pengguna juga boleh melihat butiran terperinci mengenai hartanah yang tersedia untuk dijual dan disewa dan melihat data transaksi terkini manakala penjual hartanah akan dapat menganalisis trend pasaran dan sejarah data transaksi.

Bahagian iProperty Transaction Section boleh diakses menerusi https://www.iproperty.com.my/transaction-price/.

Sementara itu, apabila ditanya mengenai kadar penghunian ruang pejabat dan komersial di tengah-tengah trend keanjalan bekerja dari rumah, Pengurus Negara iProperty bagi Malaysia, Shylendra A S Nathanm berkata berdasarkan kaji selidiknya, syarikat-syarikat masih sedang menyesuaikan diri dengan persekitaran semasa ketika Malaysia beralih ke fasa endemik.

Bagaimanapun, katanya terdapat peningkatan permintaan terhadap hartanah di luar kawasan bandar dengan ruang lebih besar bagi memenuhi keperluan rumah-pejabat dan kehidupan lestari yang dilengkapi dengan infrastruktur berkonsepkan hijau yang dibina dengan baik.

"Permintaan dalam suasana pasca COVID-19 sudah berubah, tidak seperti sebelum ini di mana semua orang mahu tinggal hampir dengan tempat mereka bekerja, terutamanya di bandar.

"Kini, dengan pelaksanaan kerja secara hibrid, pembeli mula mencari hartanah yang lebih besar dengan kos efektif di luar bandar," katanya.

Sumber : BERNAMA

Rumah mampu milik mesti berharga bawah RM300,000

by

 

 

Hartanah berpatutan mesti memenuhi kriteria seperti harga di bawah RM300,000 dibina dengan keluasan minimum 900 kaki persegi (tidak termasuk balkoni) serta lokasinya berhampiran dengan kemudahan awam, demikian menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), Datuk Chang Kim Loong.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan dicadang agar mewujudkan satu bank data yang mengumpulkan maklumat berkaitan projek perumahan bagi menyelaraskan informasi seperti jumlah unit dibina, lokasi dan harga.

Beliau berkata, maklumat mengenai projek perumahan mampu milik dalam pembinaan atau perancangan oleh pelbagai penyedia perumahan kerajaan atau swasta, agensi ekonomi negeri, badan persekutuan dan skema pembiayaan boleh didapati oleh orang awam dalam pangkalan data sama.

"Hanya tekan satu butang, kita boleh mendapatkan maklumat diperlukan seperti jenis, lokasi dan harga unit rumah yang tersedia atau harta berstrata.

 "Ia membolehkan individu mengetahui mengenai unit yang tersedia mengikut kategori rendah, sederhana dan berpatutan dalam komuniti mereka dan pilihan pembiayaan yang ada," katanya kepada Bernama hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM2.25 bilion bagi menyediakan bantuan perumahan kepada rakyat miskin selain membina 500,000 lagi unit rumah mampu milik bagi meningkatkan peluang kumpulan B40 dan M40 memilik rumah di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Kerajaan juga akan menambah baik kemudahan pembiayaan termasuk Dana untuk Rumah Mampu Milik, Skim Perumahan Belia dan Prgram Rent-to-Own (RTO) bagi memastikan golongan B40 dan M40 tidak terbeban dengan bayaran ansuran.

Kim Loong berkata, agensi kerajaan tidak mungkin membina blok apartment di kawasan yang hanya ada permintaan hartanah atau rumah siap atau dibina secara praktikalnya tidak ada permintaan dan hanya menambah statistik 'overhang' (dibina dan tidak terjual).

Sementara itu, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) menyambut baik usaha serius kerajaan yang memberi tumpuan kepada isu perumahan buat golongan B40 dan M40 dalam RMK12.

Presidennya, Datuk Soam Heng Choon berkata inisiatif berkenaan memberi lebih peluang kepada golongan terbabit dalam memiliki kediaman sendiri memandangkan ia mempunyai permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat.

"Namun, harus diingat rumah yang bakal dibina seharusnya berada dalam lokasi bersesuaian berlandaskan permintaan yang ada," katanya.

Sumber : BERNAMA

 

NHC selaras rumah mampu milik seluruh negara

by


Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menubuhkan Perbadanan Perumahan Negara (NHC) bagi menyelaraskan semua projek perumahan mampu milik yang dibangunkan Kerajaan Persekutuan dan negeri, termasuk rumah PR1MA di bawah satu agensi mulai tahun hadapan.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata NHC akan menyelaraskan projek terbabit berdasarkan model yang diguna pakai oleh Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB) di Singapura.

“Saya ada bertemu dengan wakil kerajaan Singapura selepas memegang kementerian ini. Apa yang saya boleh katakan, kita menuju ke arah itu (untuk selaraskan semua projek perumahan mampu milik).

“Ia mungkin tidak 100 peratus seperti yang dilaksanakan Singapura melalui HDB kerana kita perlu ada cara tersendiri untuk Malaysia bagi memenuhi pasaran tempatan, ” katanya pada sidang media, di sini.

Zuraida berkata, KPKT sudah mencapai hampir 200,000 unit rumah, yang sedang dan siap dibina dalam tempoh sejak Julai 2018 hingga 31 Disember 2019.

Beliau berkata, daripada 183,021 keseluruhan unit rumah itu, 20,884 kediaman adalah yang sudah siap, 73,701 dalam pembinaan dan 88,436 pula masih dalam perancangan.

Katanya, 68,829 unit rumah melalui projek Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB); 44,255 (PR1MA); 27,605 (Rumah Malaysia); 37,884 (Program Perumahan Penjawat Malaysia) dan 4,448 (Transit Belia).

Berdasarkan jumlah beliau berkata, pihaknya melihat sasaran untuk mewujudkan satu juta rumah dalam tempoh 10 tahun seperti terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) positif untuk dilaksanakan atas pencapaian kini.

Sementara itu, mengulas mengenai Kempen Pemilikan Rumah (HOC) bermula Mac hingga 31 Disember lalu, Zuraida berkata ia berjaya mencapai sasaran dengan penjualan 31,415 unit rumah dengan nilai jualan selepas diskaun ialah RM19.8 bilion.

Beliau berkata, penganjuran HOC itu ternyata membantu mengurangkan unit yang tidak terjual oleh pemaju termasuk dari swasta selain meningkatkan penjualan unit dari PR1MA dan SPNB.

Sumber : Berita Harian

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90