Peperiksaan Khas Memasuki Pegawai Tadbir dan Diplomatik Gred M41

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN on Monday, November 1, 2010


Calon-calon SPA yang telah mendaftar untuk memohon jawatan Pegawai Tadbir & Diplomatik (PTD) M41 boleh membuat semakan dan mencetak slip peperiksaan khas yang akan diadakan pada 13 NOVEMBER 2010 (SABTU). Semakan boleh dibuat di: SEMAKAN & SLIP PEPERIKSAAN KHAS PTD NOV 2010

* Calon boleh mencetak Maklumat Peperiksaan melalui Portal SPA untuk dibawa semasa menghadiri peperiksaan



Tarikh lihat anak bulan Aidiladha 6 November 2010

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN


Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia menetapkan tarikh melihat anak bulan Zulhijjah pada 6 Nov ini, bersamaan 29 Zulkaedah.

Perkara itu telah dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin setelah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja.

Majlis Raja-Raja juga turut mempersetujui cara menetapkan tarikh Hari Raya Qurban adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

Sementara itu, 30 lokasi di seluruh negara ditetapkan untuk melihat anak bulan Zulhijjah, iaitu:

1. Pontian Kecil, Johor.
2. Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka.
3. Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan.
4. Bukit Melawati, Kuala Selangor, Selangor.
5. Pulau Angsa, daerah Kuala Selangor, Selangor.
6. Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat, Selangor.
7. Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam, selangor Darul Ehsan
8. Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, daerah Manjong, Perak.
9. Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.
10. Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda, Kedah.
11. Pemandangan Indah, Pulau Langkawi, Kedah.
12. Menara Alor Setar, Alor Setar, Kedah.
13. Bukit Besar, Kuala Terengganu, Terengganu.
14. Bukit Kemuning, Kemaman, Terengganu.
15. Pulau Perhentian, Besut, Terengganu.
16. Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu, Terengganu.
17. Bukit Peraksi, Pasir Puteh, Kelantan.
18. Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, daerah Olak Jeram, Kuala Krai,
Kelantan.
19. Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Baharu, Kelantan.
20. Tanjong Lubang, Miri, Sarawak.
21. Teluk Bandung, Kuching, Sarawak.
22. Tanjung Batu, Bintulu, Sarawak.
23. Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah.
24. Bukit Tanjong Batu, Nenasi, Pahang.
25. Gunung Berincang, Cameron Highlands, Pahang.
26. Bukit Pelindong, Kuantan, Pahang.
27. Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan.
28. Menara Kuala Lumpur, Kuala Lumpur.
29. Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Putrajaya.
30. Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah akan membuat perisytiharan mengenai tarikh Hari Raya Qurban, menerusi radio dan televisyen pada malam itu juga.

- BERNAMA

Saman JPJ boleh dibayar di Pejabat Pos mulai 1 November 2010

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN


Mulai 1 November 2010, pemilik saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sekitar Lembah Klang boleh membayar saman mereka di lima pejabat pos di Selangor dan ibu negara.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan, berkata sebagai percubaan, lima kaunter yang dibuka untuk pembayar saman adalah Pejabat Pos Shah Alam, Pejabat Pos Daya Bumi, Pejabat Pos Wangsa Maju, Pejabat Pos Jalan Sultan Salahuddin dan dan Pejabat Pos Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Beliau berkata bagi pengguna di tempat lain pula, mereka boleh berbuat
demikian di 688 pejabat pos di seluruh negara selewat-lewatnya pada akhir bulan
depan.

"Usaha ini boleh menggalakkan orang ramai terutamanya penduduk luar bandar untuk membayar saman kerana sebelum ini mungkin mereka sukar membayarnya sebab ia hanya boleh dibayar melalui kaunter JPJ yang kesemuanya terletak di tengah bandar selain saluran e-Khidmat," katanya kepada pemberita selepas menutup program Satu Komuniti Satu JPJ di Felda Lepar Utara di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya JPJ telah mengadakan perbincangan dengan Pos Malaysia untuk merealisasikan langkah ketiga itu selepas cukai jalan dan lesen memandu diperbaharui di situ.

Dalam perkembangan berkaitan, Solah berkata orang ramai juga boleh membayar saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) di semua kaunter JPJ di seluruh negara dan saman JPJ itu juga boleh dibayar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) atau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) menjelang akhir tahun ini.

"Jika sebelum ini saman polis hanya boleh dibayar di IPD atau IPPK manakala saman JPJ hanya boleh dibayar di kaunter JPJ tapi selepas ini kedua-dua saman itu boleh dibayar di mana-mana saja kaunter JPJ atau polis," katanya.

Katanya dengan pelaksanaan kedua-dua kaedah berkenaan, ia dilihat tidak lagi menyusahkan orang ramai malah ia lebih cekap.

- BERNAMA

Gambaran nikmat di syurga

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Sheikh al-Maraghi berkata: "Semua ini menunjukkan bahawa makanan ahli neraka adalah sesuatu yang sesuai dengan keadaan di akhirat.

"Hal ini digambarkan dengan benda-benda yang ada di dunia adalah bermaksud untuk menggambarkan kepada kita betapa buruknya jenis makanan itu, agar kita menjauhi dan menghindari malapetaka tersebut, sehingga kita terjauh daripada perbuatan rosak dan merugikan."

Firman Allah SWT: (sebaliknya) Muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri.

Ibn Kathir berkata: Mereka mendapat kurniaan nikmat kerana usaha mereka di dunia.

Firman Allah SWT: Berpuas hati dengan balasan amal usahanya (yang baik yang telah dikerjakannya di dunia).

Al-Hasan berkata: Dia akan reda dengan usahanya. Benarlah kata al-Maraghi: Mereka berasa puas kerana mereka dahulu beramal semata-mata kerana Allah SWT dan mereka diberi balasan baik.

Hal ini umpama seorang yang berbuat baik lalu mendapat hasil atau balasan baik dan pujian yang menyenangkan, maka tercetuslah ucapan: Alangkah baiknya amalku dahulu. Sesungguhnya amalku itu sesuai dengan kebenaran.

Firman Allah SWT: (Mereka tinggal menetap) di dalam syurga tinggi (tempat kedudukannya darjatnya).

Dalam hal ini al-Mawardi menyebut dua wajah bahawa syurga lebih tinggi dari neraka kedudukannya. Dengan sebab itu dinyatakan ketinggiannya seperti kata al-Dahak. Sedangkan pendapat kedua dengan maksud di syurga-syurga yang tinggi dan bilik-biliknya.

Atas asas inilah ketinggian mereka dalam dua bentuk, iaitu supaya mereka berlazat dengan kedudukan dan keduanya supaya mereka menyaksikan apa yang Allah SWT sediakan kenikmatan untuk mereka.

Firman Allah SWT: Mereka tidak mendengar di situ sebarang perkataan yang sia-sia.

Ulama telah khilaf berkenaan dengan tafsiran lagha di sini, di mana al-Farra' dan al-Ahfash berpendapat ahli syurga tidak mendengar walaupun sepatah kalimah lagha.

Berkenaan dengan lagha ada tujuh pendapat:

* Dusta. Seperti pendapat Ibn Abbas.

* Dosa. Seperti pendapat Qatadah.

* Mencela. Seperti pendapat Mujahid.

* Kebatilan. Seperti pendapat Yahya bin Salam.

* Maksiat. Seperti pendapat al-Hasan.

* Sumpah. Seperti pendapat al-Qalbi.

* Ahli syurga tidak mendengar dalam ucapan mereka kalimah lagha. Seperti pendapat al-Farra'.

Firman Allah SWT: di dalam syurga itu ada mata air yang mengalir.

Al-Maraghi berkata: Dalam syurga itu terdapat mata air yang selalu mengalir airnya. Air yang jernih menggembirakan hati dan mententeramkan mata yang memandangnya.

Firman Allah SWT: Di situ juga ada pelamin-pelamin (berhias) yang tinggi (tempatnya).

Kedudukan tinggi ini ada tiga wajah:

* Kerana sebahagiannya berada lebih tinggi daripada yang lain.

* Kerana tempatnya berada di puncak.

* Tempat yang tinggi kerana kedudukannya dan martabatnya yang tinggi.

Ibn Syajarah berkata: Supaya mereka berlazat dengan kedudukannya.

Firman Allah SWT: dan piala-piala minuman yang disediakan (untuk mereka).

Sayid Qutub berkata: Gelas-gelas itu siap diatur dan siap disajikan untuk diminum tanpa perlu diminta dan disediakan.

Firman Allah SWT: dan bantal-bantal yang teratur (untuk mereka berbaring atau bersandar).

Al-Maraghi berkata: Dalam syurga terdapat juga bantal-bantal yang tersusun rapi. Mereka boleh mendudukinya, bersandar padanya atau berteleku di atasnya apabila dikehendaki.

Firman Allah SWT: serta hamparan-hamparan yang terbentang.

Al-Maraghi berkata: Ketika permaidani (hamparan) terhampar di tempat duduk, maka setiap tempat duduk dapat dilihat hamparan permaidani seperti yang terdapat di rumah-rumah kaum bangsawan lagi hartawan di dunia ini.

Sayid Qutub berkata: "Semuanya itu merupakan nikmat-nikmat kesenangan yang dapat dilihat manusia contoh-contoh seumpamanya di bumi."

Nikmat-nikmat itu disebut sedemikian rupa untuk mendekatkan kepada kefahaman manusia di bumi, sedangkan hakikat yang sebenar terpulanglah kepada selera di sana yang dikurniakan Allah SWT kepada golongan manusia yang berbahagia.

Di antara usaha yang sia-sia ialah membuat perbandingan dan penyelidikan yang halus mengenai bentuk dan sifat nikmat atau azab di akhirat kerana penduduk bumi berfikir dengan fikiran yang terikat dengan keadaan yang wujud di bumi ini.

Andainya mereka berada di akhirat, maka segala hijab dan dinding akan terhapus, segala roh dan fikiran terlepas bebas, segala makna akan berubah mengikut perubahan selera manusia di sana.

Ini kerana segala yang berlaku di akhirat di luar kemampuan kita untuk mengetahuinya.

Sifat-sifat nikmat yang dijelaskan oleh Allah SWT hanya berguna untuk menolong kita memahami dan menggambarkan kemuncak kelazatan, kemanisan dan kenikmatan hidup yang kita tidak mampu mencapainya selama kita berada di sini.

Ketika di akhirat barulah kita mengetahui dan mengenal hakikatnya apabila Allah SWT memuliakan dengan limpah kurnia dan keredaan-Nya.

Semoga Allah SWT mengurniakan kita syurga Firdaus sebagai nikmat-Nya. Amin.

- UTUSAN MALAYSIA

Khidmat nasihat CyberSecurity

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN


Apabila sesebuah organisasi disaran mengambil langkah- langkah keselamatan siber, ia bukanlah semata-mata melindungi komputer daripada serangan virus, kecurian maklumat dalam talian oleh pihak luar atau mengelakkan penurunan prestasi komputer.

Hakikatnya, penjenayah siber bukanlah semata-mata individu yang duduk di meja komputernya dan menggodam dari jarak jauh.

Hakikatnya, penjenayah siber sebahagian besarnya adalah individu terdekat yang kita kenali dan bekerja dalam persekitaran yang sama.

Motif pencurian data terjadi atas niat mencari keuntungan yang ditawarkan pihak ketiga atau organisasi lain. Semua itu terjadi atas kepentingan peribadi atau perniagaan.

Maklumat peribadi organisasi boleh menjadi bahan dagangan yang penting untuk organisasi pesaing. Justeru, ada pihak yang sanggup menjadi perisik atau pengintip bagi memperoleh keuntungan yang ditawarkan.

Ketua Konsultan, Pengurusan Projek dan Konsultansi HeiTech Managed Services Sdn. Bhd., Kavitha Muthy memberitahu, individu dalaman yang terbabit dengan jenayah siber kebanyakannya ialah pekerja yang tidak lagi gembira dengan pekerjaannya.

“Pekerja berkenaan sukar menolak perbuatan mencuri data kerana mereka mungkin dijanjikan habuan yang besar. Mungkin ia ditawarkan pekerjaan di syarikat pesaing atau upah yang berjumlah ribuan ringgit.

“Ternyata, data organisasi amat ‘diburu’ pihak tertentu kerana ia mengandungi segala maklumat kewangan, pelan pembangunan, strategi dan sebagainya,” kata Kavitha.

Selain menjual data kepada individu atau organisasi lain, wujud juga penjenayah siber dalaman yang menggodam maklumat peribadi individu lain untuk tujuan peras ugut. Mangsa selalunya didesak membayar sejumlah wang bagi mengelakkan maklumat peribadi dirinya didedahkan kepada umum atau di Internet.

Justeru katanya, sebelum berlaku sebarang kejadian kecurian maklumat atau sistem digodam orang dalaman, polisi berkaitan perlu diwujudkan dan dilaksanakan supaya individu terbabit dapat dikesan dan didakwa.

“Pengurusan organisasi memerlukan sistem kawalan keselamatan yang berterusan bagi merancang, melaksanakan dan memeriksa setiap aktiviti dalaman terutamanya penggunaan komputer dan pengurusan fail-fail dalam talian.

“Selain itu, terdapat undang-undang yang dapat menghukum penjenayah siber di bawah Akta Komputer 1997, Akta Hak Cipta 1997, Akta Perdagangan Elektronik 2006 dan beberapa lagi,” jelasnya.

Peranan CyberSecurity

Kavitha memberitahu, ramai pihak tidak sedar mengenai peranan CyberSecurity Malaysia dalam membantu pihak yang terbabit serangan penjenayah siber. Selain laporan kes kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), laporan sokongan CyberSecurity Malaysia penting untuk membantu siasatan.

“CyberSecurity Malaysia dapat memberi khidmat nasihat kepada individu atau organisasi yang menjadi mangsa jenayah siber serta menjalankan siasatan melalui makmal forensiknya.

“Laporan sokongan CyberSecurity Malaysia pula dapat menjadi maklumat sokongan kepada PDRM di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersialnya,” jelas Kavitha.

Dalam pada itu, CyberSecurity Malaysia boleh dihubungi melalui pusat bantuan Cyber999 di talian 1-800-88-2999 atau layari laman web www.cybersecurity.my. Orang ramai juga boleh melihat statistik terkini laporan jenayah siber yang boleh didapati di laman web www.mycert.org.my di bawah CyberSecurity Malaysia.

Sementara itu, kehilangan data peribadi organisasi bukan sahaja menjadi kebimbangan organisasi berkenaan tetapi juga orang ramai. Antara organisasi yang berisiko adalah organisasi yang menyimpan maklumat peribadi pelanggan seperti maklumat kad keahlian pasar raya.

“Adakah kita yakin maklumat peribadi yang kita berikan ketika mengisi borang keahlian akan selamat? Pernahkah kita terfikir maklumat peribadi berkenaan mungkin disalahgunakan individu berkepentingan?

“Pasti ramai yang pernah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel daripada pihak yang tidak dikenali terutamanya yang menawarkan produk-produk tertentu. Kita pula berasa hairan pihak berkenaan begitu mudah memperoleh maklumat peribadi kita,” katanya.

Oleh yang demikian, perisian sahaja tidak cukup untuk melindungi sebarang maklumat digodam individu tidak bertanggungjawab.

Kesedaran individu, masyarakat dan organisasi adalah amat kritikal bagi memastikan sebarang maklumat penting tidak terlepas kepada pihak ketiga sewenang-wenangnya.

“Peranan kerajaan sahaja tidak mampu menangani masalah jenayah siber dan kecurian maklumat. Ia memerlukan sokongan semua pihak supaya kejadian serupa tidak berulang.

“Pihak yang terbabit menguruskan data juga perlu memastikan persekitaran yang selamat supaya maklumat yang disimpan tidak digodam dengan mudah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” ulasnya.

- KOSMO!




 

KATEGORI

Artis (282) Astronomi (79) Berita (1881) Bolasepak (113) DPLI (39) Dunia (850) Ekonomi (782) Gempar (203) Hiburan (483) Islam (2210) Isu Semasa (114) Jawatan Kosong (1473) Keluarga (263) Kerjaya (1781) Kesihatan (960) Kewangan (349) Komentar (154) KPLI (91) KPLSPM (27) Mistik (49) Motivasi (616) Pendidikan (1094) Pentadbiran (218) Personaliti (210) Politik (1691) Sastera (77) Sejarah (205) Soal Jawab (85) Teknologi (757) Temuramah (19) Umum (941) Undang-Undang (220)

BLOG TERKINI